Bahri bin Rajib atau Bahri Rajib dan Drs Bahri Bin Rajib dilahirkan pada 29 Oktober 1950 di Singapura. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Teluk Kurau (1957-1962); dan Sekolah Menengah Sang Nila Utama (1963-1967). Beliau memiliki sijil Perguruan daripada Teachers Training College (1971); ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dan Sarjana Bahasa dan Kesusasteraan Melayu daripada Universitas Nasional Indonesia (1985). Bahri merupakan seorang guru bahasa Melayu dan musik yang aktif dalam kedua-dua bidang. Beliau pernah mengajar di Sekolah Rendah Jervois West (1968-1978); Sekolah Rendah Nee Soon (1979-1981); Sekolah Rendah Thomson (1982-1984); Sekolah Rendah Fuchun (1985-1987); dan Maktab Rendah Yishun (1988-1998). Beliau juga pernah bertugas sebagai Media Specialist di Kementerian Pendidikan Singapura (MOE). Beliau bertugas di Pusat Bahasa MOE sejak tahun 2000. Kini beliau merupakan guru Kanan di pusat tersebut.
Bahri merupakan antara penulis pelbagai genre termasuk sajak, cerpen, esei, skrip drama dan lirik lagu. Mula menulis sejak tahun 1972. Sajak pertama beliau yang diterbitkan di Berita Minggu ialah Penjaga pusara (14 Januari 1973) manakala cerpen sulung beliau Malam yang mengharukan (7 Oktober 1973) diterbitkan di Berita Minggu pada tahun yang sama. Beliau juga sangat prolifik dalam penghasilan skrip drama radio dan TV. Skrip drama radionya yang pertama disiarkan Dia masih muda (1973). Beliau juga menulis skrip drama TV untuk siaran TV sekolah untuk MOE (1975); diikuti oleh skrip drama untuk rancangan kanak-kanak TV; dan skrip drama TV untuk syarikat-syarikat penerbitan di Malaysia dan Singapura. Skrip drama pentas beliau ialah Geylang Serai karam; dipentaskan oleh Sriwana dalam Festival Drama anjuran Majlis Seni Kebangsaan Singapura (1998). Bahri juga banyak menulis lirik dan lagu bermula tahun 1974. Antara penyanyi yang beliau hasilkan lirik dan lagunya ialah kumpulan nasyid Almizan, Kamaliah Latiff dan dua album lagu kanak-kanak. Bahri juga giat menghasilkan lagu bagi rancangan kanak-kanak di televisyen (1975-1985). Beliau sangat prolifik sekitar tahun 1972-1992. Dewasa ini beliau banyak menghasilkan bahan-bahan pendidikan dan pengembangan bahasa Melayu di Singapura.
Bahri juga amat aktif dalam pertubuhan dan organisasi di peringkat nasional. Beliau merupakan Presiden Sriwana (1998-2001); Penasihat Sriwana (sejak 2002); Pengarang majalah Young Generation terbitan Kementerian Pendidikan Singapura (1971-1979); anggota jawatankuasa KGMS bahagian Muzik (1970-1976) dan bahagian Pelajaran (1983-1985); anggota jawatankuasa Penduduk Ang Mo Kio (1979-1981); anggota jawatankuasa Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (1998-2000); Penasihat Rancangan Melayu TV dan Radio (sejak 2004); anggota jawatankuasa Sukatan Pelajaran Sastera Melayu (2000-2003); anggota jawatankuasa Semakan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Program Khas (2005); anggota jawatankuasa Sukatan Pelajaran, Pedagogi dan Bahan Mengajar bagi Bahasa Melayu Lisan untuk Penutur bukan Melayu (2005); dan Pengadil Tetap bagi Kelab P. Ramlee, Kelab Masyarakat Kebun Baru (sejak 1994). Beliau juga merupakan antara pengasas kumpulan sastera Singapura PASS (1972) dan membimbing serta menubuhkan kumpulan Angklong di beberapa buah sekolah terutama sekali di Sekolah Menengah Perempuan Raffles dan pertubuhan Sriwana, dan sering terlibat dalam pementasan bagi Festival of Arts di Singapura.
Karya
Pacific PSLE. (1979). Singapura: Pacific Book Distributors.
Pelajaran bahasa Melayu kursus-12 (Terbitan bersama). (1980). Singapura: EPB.
Pelajaran bahasa Melayu bacaan-12 (Terbitan bersama). (1980). Singapura: EPB.
Pelajaran bahasa Melayu latihan-12 (Terbitan bersama). (1980). Singapura: EPB.
Lisda. (1982). Singapore: Heinemann Asia.
Siri kunci kejayaan. (1983). Singapore: Pan Pacific Book Distributors.
Siri pustaka kanak-kanak. (1983). Singapore: Eastern Universities Press.
Pengetahuan bahasa. (1989). Singapore: Pan Pacific Publications.
Pandai mengarang. (1989). Singapore: Pan Pacific Publications.
Siri penilaian pasifik. (1990). Singapore: Pan Pacific Publications.
Latihan efektif pasifik. (1993). Singapore: Pan Pacific Publications.
Kad ulangkaji PSLE. (1996). Singapore: Pan Pacific Publications.
Pandai mengarang. (2001). Singapura: SNP Pan Pacific Publishing.
Bangsawan Adi Langguri. [2002]. Singapore: MediaCorp TV 12 Singapore.
Siri pustaka kanak-kanak. (2002). Singapura: Times Books International.
Tupai menolong kambing. (2002). Singapore: Times Books International.
Katak yang tamak. (2002). Singapore: Times Books International.
Katak dengan burung tiong. (2002). Singapore: Times Books International.
Angsa dengan itik sombong. (2002). Singapore: Times Books International.
Rakun dengan landak. (2002). Singapore: Times Books International.
Burung yang dibenci. (2002). Singapore: Times Books International.
Bunga yang sombong. (2002). Singapore: Times Books International.
Cerita dua ekor kera. (2002). Singapore: Times Books International.
Cacing dalam perut. (2002). Singapore: Times Books International.
Pencapaian/Anugerah
1975 : Hadiah ketiga peraduan menulis skrip drama RTS.
1975 : Hadiah saguhati sayembara cerita-cerita rakyat anjuran Berita Harian - Cerita Sang Rajuna Tapa.
1975 : Third prize song writing competition Radio & TV Singapore.
1988 : Johan peraduan mencipta lagu dan senikata MUIS.
2003 : Menghasilkan skrip musical drama Kathakali yang dipentaskan bagi Bhaskars Art Academy.
Sumber
Mohamed Pitchay Gani bin Mohamed Abdul Aziz. (Ed.). (2005). Leksikon: Direktori penulis Melayu Singapura pasca 1965 (ms. 80-82). Singapura: Angkatan Sasterawan '50 & National Library Board.
The information in this article is valid as at 2005 and correct as far as we can ascertain from our sources. It is not intended to be an exhaustive or complete history of the subject. Please contact the library for further reading materials on the topic.
